Pahlawan Merah (Penyokong Fanatik Kelantan FA) Kelantan_FA

Pahlawan Merah (The Red Warriors)

Kelantan FA merupakan pasukan bola sepak yang paling ramai menerima sokongan padu daripada penyokong mereka dalam kancah Liga Malaysia sehingga mencecah puluhan ribu dan memenuhi setiap ruang di stadium mereka. Penyokong Kelantan FA dikenali dengan jolokan "Pahlawan Merah". Laungan "Gomo Klate Gomo" sentiasa bergema di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV setiap kali perlawanan diadakan. Kehadiran penyokong fanatik Kelantan FA ini bukanlah sewaktu pasukan ini mencapai kejayaan dalam liga Malaysia pada musim 2008-2009, tetapi ianya satu tradisi zaman berzaman sejak pasukan Kelantan FA ditubuhkan pada tahun 1946. Kehadiran penyokong mereka begitu dirasai oleh para pemain dan pihak pengurusan Kelantan FA dan menyebabkan pasukan lawan berasa gerun setiap kali bertemu dengan Kelantan FA. Para penyokong ini dikatakan sebagai pemain ke-12 bagi pasukan Kelantan FA.

Tragedi 9 April 2009

Peristiwa rusuhan penyokong fanatik Kelantan semasa kempen separuh akhir pertama Piala FA yang berlangsung di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV menjadi detik hitam dalam sejarah bola sepak Kelantan. Rusuhan ini dipercayai berpunca ketidakpuasan hati penyokong-penyokong Kelantan FA terhadap mutu pengadilan semasa Kelantan FA menerima kunjungan pasukan Negeri Sembilan FA. Ketegangan yang berlaku antara penjaga gol Kelantan FA, Mohd Halim Napi dan juga penyerang Negeri Sembilan FA, Zaquan Adha Abdul Razak di padang telah menyemarakkan lagi api kemarahan penyokong-penyokong Kelantan.

Setelah tamat permainan, keadaan dalam stadium begitu tegang apabila penyokong Kelantan ketika itu seramai 26,000 orang tidak mahu berganjak dari tempat masing-masing sehingga diarah keluar oleh pihak polis yang mengawal permainan pada malam itu. Namun di luar stadium hampir 2,000 orang penyokong Kelantan telah merusuh di perkarangan stadium dengan membakar kenderaan pasukan polis dan merosak kenderaan persendirian dan juga harta awam. Seramai 100 orang anggota polis dan anti rusuhan telah diarahkan untuk mengawal keselamatan pasukan Negeri Sembilan FA dan meredakan keadaan yang berlaku pada malam kejadian itu.

Akibat kejadian yang berlaku, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menggantung pasukan Kelantan FA beraksi di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV sehingga tamat musim 2009 dan telah memilih stadium berkecuali Stadium Putra Bukit Jalil untuk perlawanan yang membabitkan pasukan Kelantan FA dengan pihak lawan. Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan (KAFA) turut didenda RM90,000 akibat kejadian rusuhan yang berlaku. Penyokong fanatik tetap teguh berdiri di belakang Tan Sri Annuar Musa dengan tidak berbelah bagi tanda 100% untuk Kelantan FA, jadi penyokong semua berilah kerjasama untuk kelab kesayangan kita untuk terus maju dibawah Tan Sri Annuar Musa.

Rusuhan Di Stadium Nasional Bukit Jalil (Final Piala Malaysia 2009)

Kekalahan pasukan Kelantan FA kepada pasukan Negeri Sembilan FA dalam perlawanan akhir Piala Malaysia musim 2009 menyebabkan berlakunya rusuhan penyokong pasukan Kelantan FA dengan membakar kain rentang gergasi dan juga kerusi-kerusi penonton. Kejadian ini mengakibatkan Persatuan Amatur Bola Sepak Kelantan (KAFA) didenda RM34,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Musuh Tradisi dan Utama

Pasukan Bolasepak Negeri Terengganu Darul Iman (PBSNT) merupakan seteru tradisi bagi Pasukan Bolasepak Amatur Kelantan. Pertembungan dua musuh berjiran ini dikenali sebagai pertembungan "East Coast Derby" bagi kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Bahang pertembungan kedua-dua pasukan ini turut menular di kalangan para penyokong kedua-dua pasukan yang sentiasa menghidangkan aksi-aksi tegang kedua-dua pasukan mahupun para penyokong mereka.

Namun bermulanya era kebangkitan mereka (2009-kini), pasukan ini merupakan pencabar bagi skuad-skuad yang baru naik sepanjang musim bola sepak. Pada 2009-2010 menyaksikan Selangor FA sebagai musuh utama bagi pasukan Kelantan FA dalam kancah saingan Liga Domestik, baik dari Liga Super, kempen Piala FA ataupun Piala Malaysia. Pertembungan musuh terkuat dalam saingan Liga Malaysia ini menyajikan aksi-aksi yang dramatik antara kedua-dua pasukan dan turut membabitkan para penyokong bagi kedua-dua pasukan ini. Pertembungan ini masih berlarutan sehingga 2011.

Pada 2012, ATM FA menjadi pesaing utama mereka. Dalam kempen Piala Malaysia 2010, mereka bersaing dalam kumpulan B dan akhirnya berlarutan sehingga perlawanan akhir. Pada 2013, kehadiran JDT yang dibarisi bekas pemain Kelantan (Norshahrul Idlan dan Nurul Azwan Roya) serta pemain-pemain kebangsaan (Safiq Rahim, Aidil Zafuan) dan pemain antarabangsa (Daniel Guiza, Simone Del Nero) menyaksikan pertembungan menarik antara kedua-dua pasukan. Perlawanan akhir Piala FA menyaksikan pertembungan kedua-dua musuh utama ini.